Nurul Hidayah Bahaudin


TAWAR pakej khidmat pelayan pelanggan (GRO) serendah RM300 bagi tempoh empat jam dan jualan minuman keras menyumbang pendapatan pusat hiburan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, sehingga meraih lebih RM1 juta setiap bulan.

Pusat hiburan itu antara dua premis diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) Siri 43, awal pagi hari ini.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi itu, sepasukan anggota penguat kuasa merangkumi 320 pegawai dan anggota daripada 27 agensi kerajaan dan 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat serbuan terhadap dua premis di Jalan Sungai Besi dan Jalan Ipoh.

Ketua Penyelaras Op BAH Azman Mahmood berkata, pemeriksaan terhadap pusat hiburan di Jalan Sungai Besi mendapati premis berkenaan memperoleh pendapatan lebih RM1 juta setiap bulan hasil khidmat GRO dan jualan minuman keras selain perniagaan pusat karaoke dijalankan.

"Berdasarkan keterangan pekerja premis berkenaan, mereka mengakui ada menawarkan perkhidmatan GRO dengan harga RM300 bagi tempoh empat jam serta hasil jualan minuman keras memberangsangkan yang meraih pendapatan jutaan ringgit bagi tempoh sebulan dalam perniagaan pusat karaoke itu.

“Malah, pusat hiburan yang beroperasi sejak 26 tahun itu turut didapati melanggar peraturan apabila menjalankan perniagaan selepas waktu operasi dibenarkan," katanya pada sidang media ketika mengetuai serbuan terbabit di premis berkenaan di Jalan Sungai Besi, hari ini.

Azman berkata, pihaknya menahan 105 individu berusia antara 20 hingga 60 tahun atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan.

"Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan 76 individu terdiri daripada pengunjung serta pekerja kedua-dua premis itu selepas didapati positif dadah jenis ganja dan methaphetamine.

"Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) pula menahan 24 individu selepas didapati mengambil minuman keras mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan semua mereka diberikan kaunseling.

"Jabatan Imigresen pula menahan lima wanita terdiri daripada dua warga Vietnam serta masing-masing warga Filipina, China dan Indonesia selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah," katanya.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengeluarkan tiga notis terhadap dua premis berkenaan membabitkan kesalahan beroperasi melebihi had masa dibenarkan dan mempamerkan iklan tanpa lesen.

"Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 70 minuman keras pelbagai jenama yang didapati dijual tanpa lesen serta dijual selepas waktu operasi di kedua-dua premis berkenaan selain merampas lebih 300 minuman tin bir di pusat hiburan kedua atas kesalahan sama.

"Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan satu notis kesalahan mengikut Akta Syarikat 2016 dalam operasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 10:56 AM
SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan awal pagi hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan awal pagi hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin