Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Subromaniam Tholasy  (tengah) menunjukkan sebahagian dari barang seludup (minuman keras dan rokok) dari 45 kontena yang dirampas dalam serbuan di jeti persendirian dekat Jalan Salim-Stabau, Sibu. FOTO Harun Yahya
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Subromaniam Tholasy (tengah) menunjukkan sebahagian dari barang seludup (minuman keras dan rokok) dari 45 kontena yang dirampas dalam serbuan di jeti persendirian dekat Jalan Salim-Stabau, Sibu. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 45 kontena arak dan rokok bernilai RM17.5 juta dalam serbuan di jeti persendirian di Jalan Salim - Stabau, Sibu, 5 September lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, dalam serbuan itu sebuah kapal penunda dan sebuah kapal tongkang yang membawa kontena berkenaan turut ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena diatas tongkang itu mendapati 44 kontena itu mengandungi minuman keras, manakala sebuah lagi kontena 21,250 karton rokok putih yang cuba diseludup masuk ke Sarawak.

"Keseluruhannya, nilai cukai yang cuba dielakkan mencecah RM14.3 juta dan ia satu kehilangan hasil cukup besar kepada negara," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selain 45 kontena itu, JKDM turut merampas 400 kotak arak di gudang persendirian tidak jauh dari jeti berkenaan.

“Nilai cukai bagi arak yang dirampas itu mencecah RM346,946. Ia adalah jumlah rampasan arak dan rokok seludup terbesar di Sarawak untuk tahun ini.

"Kita turut menahan tujuh suspek warga Indonesia yang juga kru kapal berkenaan bagi membantu siasatan, selain seorang lelaki warga tempatan berhubung kes penemuan arak seludup di gudang persendirian itu," katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati barangan itu dibawa masuk melalui Ho Chi Minh, Vietnam.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit import sah dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan/barang belum lulus Kastam.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya di bawah akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 11:15 AM