GERAI durian di tepi jalan sekitar Kampung Manggis, Papar. FOTO Rafiqah Dahali
GERAI durian di tepi jalan sekitar Kampung Manggis, Papar. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali

KETIBAAN musim buah-buahan tempatan, khususnya durian memberi peluang kepada penduduk Kampung Manggis, Paparuntuk menambah pendapatan dengan membuka gerai menjual buah di tepi jalan.

Walaupun hanya berniaga antara dua bulan hingga tiga bulan dalam setahun, bergantung kepada panjang musim buah, rezeki diperoleh berbaloi dengan harga tinggi buah-buahan tempatan, khususnya durian yang ada antaranya mencecah RM50 sekilogram.

Bukan saja durian, buah eksotik yang sinonim dengan Sabah seperti dalit, tarap dan bambangan juga banyak dijual di gerai buah kampung berkenaan, semua hasil kebun penduduk setempat.

Lokasi berkenaan yang terletak di Jalan Lama Papar yang kini sedang dinaik taraf sebahagian daripada Lebuhraya Pan Borneo Sabah, sudah lama dikenali sebagai tempat mencari buah bermusim terutama durian yang dibawa terus dari kebun.

Seorang peniaga di gerai Kampung Manggis, Siau Wei Shin, 36, berkata dia hanya membuka gerai apabila tiba musim buah dan sudah berniaga di lokasi berkenaan sejak kira-kira empat tahun lalu.

“Saya hanya menjual durian apabila tiba musimnya. Kebanyakan durian saya pajak daripada penduduk setempat selain milik sendiri seperti durian sukang yang ditanam keluarga saya di kebun,” katanya ketika ditemui NSTP.

Sukang adalah sejenis durian eksotik dengan isi berwarna kuning dijual RM15 sekilogram di gerai Wei Shin.

Beliau turut menjual spesies durian lain, antaranya durian ‘batu’ dengan harga RM12 sekilogram, dalit (RM35 sekilogram), musang king (RM50 sekilogram) dan durian kanyau (RM20 sekilogram).

Selain penduduk tempatan, katanya, lokasi berkenaan juga sering disinggahi pengunjung dari Brunei, Sarawak dan Labuan.

“Biasanya hujung minggu bermula hari Jumaat paling ramai pengunjung berbanding hari biasa. Kalau hujung minggu saya dapat menjual lebih 50 kilogram durian dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000,” katanya.

Seorang lagi penjual, Liew Vui Yan, 46, berkata, beliau baru setahun berniaga buah-buahan di gerai terbabit dengan menjual durian yang dipajak daripada penduduk kampung, selain turut menjual manggis dan tarap.

Katanya, sebelum ketibaan musim buah, dia menjual buah limau kasturi yang ditanam di kebunnya, selain memasarkannya di pasar malam di Kota Kinabalu antara dua atau tiga kali seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 11:45 AM