KAMAL di gerai jualannya.
KAMAL di gerai jualannya.
Nazri Abu Bakar


SIBUK dengan dunia lakonan bukan penghalang buat dramatis terkenal, Kamal Bakar, 58, menjual buah-buahan di pasar tani.

Malah, status artis bukan faktor untuk dia 'malu' memanggil pelanggan untuk membeli hasil jualannya.

Ia juga dianggap kelebihan buatnya untuk orang ramai berebut mendapatkan hasil jualannya termasuk durian, rambutan, manggis, langsat,duku, pisang dan mangga.

Dia yang bergelar pelakon bersama isteri serta lima anaknya terbabit dalam filem dan drama mengakui teruja membabitkan diri dalam dunia perniagaan sepanjang musim buah berkenaan.

Aktif sejak 1982 dengan lebih 100 drama dan filem termasuk menerusi arahan Datuk Yusuf Haslam dan Yusof Kelana menganggap ruang dan kesempatan tanpa penggambaran digunakannya untuk menjual buah-buahan sekitar Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Kuala Lumpur.

Kamal yang kini sedang menunggu drama 'Hello Baby' yang diterbitkan Liyana Jasmay berkata, selain buah-buahan dia turut menjual sayur-sayuran termasuk kentang, halia dan bawang dengan prinsip membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

“Jiwa anak kampung yang sebati dalam diri mendorong saya untuk terbabit dengan jualan berkenaan tambahan ia boleh membawa pulangan lumayan.

"Apapun pembahagian masa amat penting untuk memastikan penggambaran drama atau filem tidak terjejas.

“Namun, setakat lebih 30 tahun berlakon dan menjual buah-buahan ia tidak mengganggu kelancaran jadual saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 2:56 PM