HALIMEY (kanan) menyampaikan Jalur Gemilang kepada orang ramai pada kempen Pilihanraya Kecil Seri Setia di Pusat Penjaja SS5D/2, Kelana Jaya. Foto NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
HALIMEY (kanan) menyampaikan Jalur Gemilang kepada orang ramai pada kempen Pilihanraya Kecil Seri Setia di Pusat Penjaja SS5D/2, Kelana Jaya. Foto NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Meor Riduwan Meor Ahmad


CALON Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar terus bersemangat berkempen walaupun dikatakan ditinggalkan sendirian dengan tiada mana-mana pemimpin tertinggi parti mengikuti siri kempennya, setakat ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Memasuki minggu kedua, beliau menjalankan pelbagai program menemui pengundi di kawasan DUN terbabit termasuk mengadakan lawatan di tapak penjaja di Jalan SS 5D/6 dekat Petaling Jaya, hari ini.

“Ketiadaan pemimpin utama bukan maknanya mereka tinggalkan saya, tidak ada. Pihak pemimpin atasan kita daripada PH sudah membahagikan tugas.

“ADUN PH dibahagikan untuk berkempen di daerah mengundi yang ditetapkan.

“Saya dan pasukan pula ditetapkan untuk menjalankan program walkabout dan bertemu pengundi,” katanya kepada NSTP.

Halimey berkata demikian ketika ditanya mengenai ketiadaan pemimpin utama PH turut serta dalam siri kempennya sejak minggu lalu.

Beliau turut menafikan faktor terlalu yakin akan meraih kemenangan di PRK Seri Setia menyebabkannya dibiarkan berkempen sendirian.

“Bukan soal terlalu yakin menang. Malam tadi, saya turun di daerah mengundi ada bertemu ADUN PH yang ditugaskan. Minggu lalu juga ada ADUN yang bertugas.

“Saya juga rasa lebih selesa begini. Ke mana saya nak turun, saya maklumkan kepada daerah mengundi yang akan mengaturkan jadual saya,” katanya.

Sementara itu, Halimey berikrar untuk menaik taraf perniagaan penjaja di kawasan Jalan SS 5D/6, dekat sini jika dipilih sebagai ADUN pada PRK Seri Setia, 8 September ini kerana memahami nasib mereka, apatah lagi ibu bapanya pernah menjadi peniaga pasar malam.

“Sebenarnya gerai di sini dah lama, mereka ada lesen yang diberi oleh pihak Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

“Cuma mungkin tidak teratur dan Insya-Allah, jika saya dipilih, saya akan susun semula peniaga di sini di tapak asal kerana di sini, ramai pelanggan termasuk pelanggan tetap,” katanya.

Beliau meluangkan masa hampir sejam menemui dan beramah mesra dengan penjaja serta orang ramai sambil mengedarkan kad nama, bendera Jalur Gemilang serta mengingatkan mereka hari mengundi.

Sementara itu, peniaga buah cempedak, Mohd Roosnaim Che Ross, 30, berharap Halimey menunaikan janji untuk membantu golongan penjaja di kawasan itu jika dipilih sebagai ADUN kelak.

“Saya berharap YB (Yang Berhormat) kelak ‘pandang’ peniaga kecil di tepi jalan seperti kami. Kami tidak perlukan bantuan modal, lebih kepada tapak untuk berniaga dengan selesa dan teratur. Modal tidak seberapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 6:12 PM