OPERASI mencari wanita yang dilaporkan hilang oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung di hutan belakang rumahnya di Kampung Nyior. FOTO ihsan Bomba
OPERASI mencari wanita yang dilaporkan hilang oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung di hutan belakang rumahnya di Kampung Nyior. FOTO ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SELEPAS hampir 19 jam hilang, wanita ditemui selamat di kawasan hutan di belakang rumahnya di Kampung Nyior Manis, Pekan, hari ini.

Mangsa Syazwani Muhammad Fithal, 31, dilaporkan hilang dari rumahnya, 10 malam tadi sebelum ditemui anggota penyelamat dan penduduk kampung pada 4.20 petang, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.15 malam sebelum menggerakkan operasi pencarian.

“Operasi mencari dan mengesan mangsa dilakukan malam tadi namun ditangguhkan kerana sudah lewat malam. Operasi kemudian disambung pada hari ini pada 9 pagi dengan membuat pencarian di sekitar hutan belakang rumah mangsa.

“Berdasarkan keterangan keluarga, mangsa kali terakhir dilihat memakai pakaian muslimah biru bersama seluar dan tudung berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi di Pekan, hari ini.

Beliau berkata, operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipecahkan kepada empat kumpulan pencarian selain turut menggunakan ‘dron’.

Wan Samsul Effendi berkata, berdasarkan pemantauan menggunakan dron itu pihaknya berjaya mengesan pergerakan objek di kawasan hutan kira-kira 200 meter dari rumah mangsa.

“Anggota penyelamat kemudian pergi ke kawasan itu sebelum menemui mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami sedikit luka kecil,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 6:12 PM