Sepasukan anggota bomba membantu mengangkat wanita yang mengalami masalah obesiti. FOTO ihsan bomba
Sepasukan anggota bomba membantu mengangkat wanita yang mengalami masalah obesiti. FOTO ihsan bomba
Shahrinnahar Latib


SEPASUKAN anggota bomba dipanggil bagi membantu mengangkat seorang wanita yang mengalami masalah obesiti dengan berat badan lebih 150 kilogram (kg) untuk dipindahkan dari Hospital Pekan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Pekan untuk mendapatkan bantuan mengangkat pesakit berusia 23 tahun itu jam 11.15 malam.

Katanya, beberapa anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan diarahkan ke hospital berkenaan bagi tindakan lanjut.

“Anggota bomba kemudian melakukan kerja mengangkat pesakit berkenaan dan dibantu oleh petugas hospital itu sebelum dibawa masuk ke dalam lori bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengangkat pesakit yang mengalami masalah asma itu ke dalam lori bomba.

“Wanita itu kemudian dibawa ke HTAA dengan menggunakan kenderaan bomba dan dipantau oleh pegawai perubatan dan kakitangan hospital.

“Pesakit berkenaan sampai di HTAA jam 12.20 tengah malam sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 9:48 AM