GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque

ENAM Jahanam! Itu gelaran yang layak diberikan kepada geng samun kedai runcit di sekitar Kuching, sejak sebulan lalu.

Namun, kegiatan enam sahabat berusia 18 hingga 25 tahun itu berakhir selepas mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di beberapa lokasi sekitar bandar ini.

“Suspek dipercayai terbabit dengan kegiatan samun kedai runcit di Satok dan Jalan Matang, baru-baru ini,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, hari ini.

Ng berkata, suspek menyasarkan kedai runcit 24 jam dan melakukan jenayah pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Suspek akan menyerbu kedai runcit dengan memakai topi keledar berpenutup penuh sebelum mengacukan pisau kepada juruwang.

“Wang tunai dan barangan berharga menjadi sasaran suspek sebelum melarikan diri menggunakan motosikal," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 12:21 PM