(Gambar kiri) LELAKI berusia 22 tahun yang terbabit dalam kes samun ditahan di sebuah rumah di Taman Malihah, Matang, Kuching. (Gambar kanan), Suspek yang terbabit dalam kes samun sekitar Kuching dan Padawan yang masih bebas. FOTO NSTP/IHSAN PDRM
(Gambar kiri) LELAKI berusia 22 tahun yang terbabit dalam kes samun ditahan di sebuah rumah di Taman Malihah, Matang, Kuching. (Gambar kanan), Suspek yang terbabit dalam kes samun sekitar Kuching dan Padawan yang masih bebas. FOTO NSTP/IHSAN PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEGIATAN samun awal pagi yang dilakukan penganggur bersama rakannya di sekitar daerah Kuching dan Padawan sejak empat bulan lalu menemui noktah apabila ditahan polis, 16 April lalu.

Lelaki, 22, itu ditahan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sebuah rumah di Taman Malihah, Matang, Kuching pada 1 tengah hari.

Ketua JSJ Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, suspek dipercayai bersama seorang rakannya yang masih bebas mensasarkan kedai serbaneka 24 jam sebagai lokasi untuk melakukan samun sejak 1 Januari lalu.

Menurutnya, suspek yang menggunakan pisau dan parang untuk menyamun kebiasaannya akan melakukan jenayah itu antara 1 pagi hingga 6 pagi kerana keadaan sunyi.

“Kes pertama yang dikesan dilakukan kumpulan ini adalah di kedai serbaneka di Pusat Komersial Stutong pada 2.10 pagi, 1 Januari lalu dengan melarikan wang tunai RM450 dan pelbagai jenis rokok.

“Suspek akan mencederakan pekerja premis yang disamun sekiranya mangsa tidak mahu mengikuti arahan mereka untuk menyerahkan wang dan barangan yang diminta,” katanya, hari ini.

Dev berkata, susulan kejadian itu, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek dan tidak menolak kemungkinan suspek melakukan 15 samun menggunakan modus operandi sama sepanjang Januari hingga bulan ini.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek yang ditahan mendapati lelaki terbabit positif dadah, manakala Honda EX5 yang dirampas menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai dicuri.

“Polis masih giat mengesan seorang lagi suspek iaitu Mohd Hisham Meran, 24, yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian sama dan orang ramai diminta tampil menghubungi balai polis untuk menyalurkan maklumat," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 4:16 PM