ORANG ramai mengambil peluang melihat dengan lebih dekat  lembu 1,100kg  dikorbankan di Kampung Losong Dato Amar.
ORANG ramai mengambil peluang melihat dengan lebih dekat lembu 1,100kg dikorbankan di Kampung Losong Dato Amar.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Lebih 300 penduduk membanjiri pekarangan Dewan Badan Ukhwah Darul Iman (BUDI) Losong untuk menyaksikan lembu sado seberat 1,100 kilogram (kg) disembelih semalam.

Lembu baka Charolais berharga RM14,000 itu disembelih sendiri Pengerusi BUDI Losong, Zul Fadzli Hassan jam 10.30 pagi dengan bantuan 10 penduduk kampung yang berpengalaman.

Kamarulzaman Mamat, 51, dari Kampung Tok Adis berkata, dia datang ke BUDI seawal jam 8 pagi untuk menyaksikan sesi penyembelihan lembu sado itu.

“Sepanjang hidup saya, pertama kali berpeluang menyaksikan penyembelihan lembu bersaiz besar itu.

“Saya ingatkan lembu itu naik minyak memandangkan ia bersaiz besar, namun jangkaan saya meleset kerana lembu itu seakan memahami dan rela disembelih.

“Biarpun lembu itu besar, ia jauh lebih senang disembelih selain kepakaran orang yang mengurusnya memudahkan lagi sesi penyembelihan itu,” katanya.

Tengku Iskandar Tengku Supaiza, 10, berkata, dia terlalu teruja menyaksikan lembu sado itu disembelih.

“Dua tahun lalu, saya tidak berpeluang melihat lembu sado seperti itu disembelih.

“Justeru tahun ini, saya tidak ingin melepaskan peluang menyaksikannya dan datang seawal jam 8 pagi dengan berbasikal.

“Pengalaman melihat serta bergambar dengan lembu sado ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Ayob Mohamad, 50, dari Kampung Bukit Tok Beng berkata, dia kali kedua menyertai korban lembu sado.

“Dua tahun lepas saya pernah menyertainya dengan harga satu bahagian RM2,000 dan pada tahun ini nilainya RM2,200 sebahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:21 AM