MOHAMAD Saiman bersama lembu baka Charolais yang bakal disembelih pada hari kedua Aidiladha ini. -Foto AHMAD RABIUL ZULKIFLY
MOHAMAD Saiman bersama lembu baka Charolais yang bakal disembelih pada hari kedua Aidiladha ini. -Foto AHMAD RABIUL ZULKIFLY
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Badan Ukhuwah Darul Iman (BUDI) Losong, sekali lagi tampil menyediakan lembu baka Charolais seberat 1.1 tan untuk dikorbankan pada Aidiladha ini.

Lembu berusia tiga tahun berharga RM14,000 antara enam lembu yang dipilih BUDI Losong untuk majlis korban bersama penduduk Kampung Losong Datuk Amar dijangka berlangsung jam 8 pagi hingga 2 petang, Khamis ini.

Pengerusi BUDI Losong Zul Fadzli Hassan berkata, sebelum ini pihaknya pernah menggunakan lembu baka sama yang bersaiz hampir satu tan untuk ibadat korban pada 2016.

“Jadi kali ini adalah program kedua kita menggunakan lembu baka sama dan ramai yang ternanti-nanti majlis ini kerana memberi lebih manfaat kepada orang ramai.

“Biarpun harga satu bahagian RM2,200, tetapi sudah lima bahagian korban ditempah dan baki dua bahagian lagi dijangka terisi menjelang sehari sebelum Aidiladha.

“Dianggarkan setiap bahagian peserta akan menerima lebih 50 kilogram (kg) daging untuk diagihkan kepada golongan memerlukan, berbanding lembu kampung yang berharga RM600 ke RM700 sebahagian, peserta hanya peroleh 8kg daging saja,” katanya, semalam.

Zul Fadzli berkata, penggunaan lembu bersaiz besar membolehkan daging diagihkan kepada lebih ramai asnaf.

“Semakin besar harga setiap bahagian daging, semakin ia menguji keimanan seseorang untuk mengorbankan wang.

“Konsep pengorbanan termasuk mengorbankan sesuatu yang kita sayang untuk dibelanjakan. Justeru, usaha yang dijalankan ini bersesuaian dengan konsep pengorbanan,” katanya.

Sementara itu, penjaga lembu, Mohamad Saiman Ghazali, 41, berkata, dia menguruskan sebanyak 18 lembu yang akan dikorban pada Aidiladha tahun ini.

“Sebagai penjaga, saya teruja mahu menyaksikan lembu baka lebih satu tan ini disembelih.

“Jika diikutkan, pemilik asal lembu baka ini sayang untuk menyembelihnya kerana lembu ini sudah dijaga sejak tiga tahun lalu, tetapi demi ibadat, pemilik merelakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 4:20 AM