Laporan media India mengenai pembunuhan Ummar Khan oleh penduduk Hindu.
Laporan media India mengenai pembunuhan Ummar Khan oleh penduduk Hindu.
Reuters

POLIS menahan dua petani Hindu di Rajasthan, India, berhubung pembunuhan seorang penduduk Islam yang dituduh menyeludup lembu ke pusat penyembelihan.

Kumpulan pelampau Hindu bertindak ganas terhadap penduduk Islam yang menjalankan perniagaan daging lembu selepas kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi meluluskan akta perlindungan lembu yang dianggap suci oleh penganut Hindu.

Berikutan akta perlindungan lembu itu, mereka yang mengangkut lembu dari satu tempat ke satu tempat dianggap penyeludup. Banyak kejadian penduduk Islam diserang dan dibunuh kerana menyembelih dan menjual daging lembu.

Jumaat lalu, polis menemui mayat Ummar Khan, 35, di tepi landasan kereta api di daerah Alwar, Rajasthan.

Pegawai polis di Alwar, Rahul Prakash, berkata dua lelaki itu ditahan Isnin serta Selasa lalu.

“Ia kes pembunuhan yang jelas berkaitan perlindungan lembu,” katanya.

Menurut polis, mangsa dan dua rakannya sedang mengangkut lima lembu apabila diserang sekumpulan enam orang yang menganggap mereka pasukan perlindungan ternakan itu.

“Kedua-dua kumpulan membawa senjata api dan berlaku tembak menembak,” kata Rahul.

Isteri mangsa, Khurdisan, menafikan suaminya membawa lembu terbabit untuk disembelih.

“Dia membawa lembu itu pulang untuk susu, bukan daging. Saya mahu kerajaan melindungi saya dan anak-anak,” katanya kepada akhbar Patrika.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 5:06 PM