Audrey Dermawan


BERMULA hari ini, jika anda memandu sepanjang Jalan Tanjung Tokong-Tanjung Bungah menghala ke Georgetown, pastikan anda melihat ke kanan bila berdekatan terowong jambatan yang dilukis dengan mural Jalur Gemilang terpanjang di negara ini.

Di situ, anda akan melihat lukisan mural terbaru yang memaparkan wajah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dikelilingi pelbagai ikon negara serta negeri.

Lukisan itu dilakar kartunis dan karikatur kelahiran Pulau Pinang, Mohd Azmi Mohd Hussin, 34, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-61 tahun ini.

Mural terbaru yang dihasilkan pemegang Malaysia Book of Records (MBR) bagi karikatur paling banyak dilukis dalam tempoh 24 jam itu berjaya disiapkan dalam tempoh tiga hari.

Azmi berkata, Kelab Sukan Belia Muslim (KSBM) sebelum itu berjumpa dengannya bagi menghasilkan mural sepanjang dinding berkeluasan 12 meter persegi terbabit.

Katanya, dia mula melukis pada Ahad lalu sebelum siap tiga hari kemudian.

Difahamkan, pihak KSBM juga akan mengecat semula mural Jalur Gemilang pada Ahad ini sebelum merasmikan lukisan mural itu.

“Saya begitu bersyukur apabila diberikan peluang untuk menghasilkan mural sempena bulan kebangsaan pada tahun ini.

“Selain itu, saya juga berbangga kerana dapat melukis gambar dua individu terpenting di negara termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang,” katanya.

Azmi sebelum ini pernah menghasilkan lukisan mural di beberapa dinding bangunan di negeri ini sejak beberapa tahun lalu termasuk lukisan 'Made In Penang' di Muzium Intraktif, 'Cofee with Tun M' di Jalan Transfer selain mural di Roti Bakar Hutton Lane.

“Saya berharap semua rakyat Malaysia berbangga dengan pemimpin kita yang berjuang untuk 'Malaysia Baru',” katanya yang mahu menyampaikan mesej itu di setiap lukisan yang dihasilkannya.

Berinspirasikan karya dihasilkan kartunis Malaysia, Datuk Mohammad Nor Khalid yang lebih dikenali sebagai Lat, Azmi yang berbangga menjadi sebahagian warisan India Muslim berkenaan sudah menerbitkan dua komik yang menceritakan kehidupannya di dalam komuniti itu.

Komik Little Mamak yang diterbitkan di Malaysia itu menggambarkan kehidupan komuniti India muslim atau digelar 'Mamak'.

Katanya, komik itu mengandungi sejarah komuniti India Muslim, kehidupan mereka dan pandangan orang ramai mengenainya.

Selepas berjaya mencatat nama di dalam MBR, Azmi kini berusaha untuk memecah Buku Rekod Guiness bagi lukisan kartun terpanjang yang kini dipegang kartunis Unaiza Ali Barlas dari Pakistan yang menghasilkan karya sepanjang 267.38 meter pada 12 Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 8:56 PM
LUKISAN mural wajah pemimpin negara dan negeri di Jalan Tanjung Bungah. FOTO/VIDEO Danial Saad
LUKISAN mural wajah pemimpin negara dan negeri di Jalan Tanjung Bungah. FOTO/VIDEO Danial Saad