ANTARA kartunis popular yang hadir memberikan sokongan adalah Jaafar Taib, Juragan, Mie, Ujang, Aloi dan Micha.
ANTARA kartunis popular yang hadir memberikan sokongan adalah Jaafar Taib, Juragan, Mie, Ujang, Aloi dan Micha.
Siti Fatimah Nasir


Kuala Lumpur: “Kartun antara medium terbaik yang mudah difahami berbanding penulisan untuk mengetengahkan isu Baitulmaqdis ketika ini,” kata karikatur bebas, Shaari Sulong atau lebih dikenali sebagai Aie, 44.

Beliau berkata, melalui pameran Kartun dan Kita yang dipamerkan di Muzium Negara, Rumah Kartun dan Kartunis Malaysia mengambil kesempatan untuk memberi sokongan kepada rakyat Palestin memperjuangkan Baitulmaqdis dalam bentuk lakaran.

“Walaupun sebelum ini Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis sudah dijalankan, sebagai kartunis kita juga mahu memberi sokongan supaya isu ini dapat diketengahkan secara berterusan dan tidak mati begitu saja,” katanya ketika ditemui pada Program Solidariti Kartunis Malaysia Selamatkan Baitulmaqdis di Dataran Muzium Negara di sini, semalam.

Program yang dijalankan selama dua hari itu berjaya menarik kira-kira 100 kartunis tanah air yang mengabadikan karya mereka dalam bentuk lukisan di atas kain kanvas bersaiz 20x7 kaki persegi untuk memperjuangkan isu Baitulmaqdis.

Antara kartunis popular yang hadir memberikan sokongan adalah Jaafar Taib, Juragan, Mie, Ujang, Aloi dan Micha.

Turut hadir memberikan sokongan, Pengarah Muzium Negara Azmi Ismail dan Timbalan Pengarah Muzium Negara Darniza Daut.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar atau Juragan berkata, program memberi kebebasan kepada kartunis Malaysia, malah luar negara untuk meluahkan perasaan mereka terhadap isu ini.

“Apabila siapnya lakaran ini, ia akan dipamerkan di Muzium Negara bermula esok hingga 15 April 2018 seiring dengan pameran Kartun dan Kita di sini,” katanya yang bercadang meletakkan lakaran itu di hadapan kedutaan Amerika Syarikat.

Karikatur popular tanah air, Jaafar Taib, 65, berkata, orang Islam harus memperjuangkan isu ini walaupun cara yang disampaikan berbeza iaitu dalam bentuk lukisan.

“Lukisan juga adalah cara yang paling mudah untuk orang ramai memahami apa yang ingin disampaikan kerana dengan cara melihat sendiri lukisan itu, mereka boleh faham apa sebenarnya yang berlaku dalam dunia kini,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun lukisan itu berkonsepkan humor, tetapi yang paling penting isu yang diketegahkan sesuai dengan kehendak masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 4:22 AM