Amin Ridzuan Ishak


PENGURUS syarikat pelaburan mata wang asing atau forex antara empat lelaki ditahan kerana dipercayai pengedar ganja dalam serbuan membabitkan rampasan keseluruhan lebih RM181,000 di Kuantan, Jumaat lalu.

Lelaki tempatan berusia 27 tahun itu ditahan bersama tiga kakitangannya iaitu adiknya berusia 20 tahun serta dua individu masing-masing berusia 23 serta 21 tahun.

Ketiga-tiganya bekerja sebagai penganalisis teknikal di syarikat itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu dilakukan selepas menerima maklumat awam dan melakukan pemerhatian terhadap sebuah kenderaan jenis Nissan Almera di Jalan Besar pada 10.45 malam.

Katanya, pemeriksaan pada kenderaan dinaiki dua suspek itu menemui ganja seberat 196.2 gram dan siasatan lanjut membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Jalan Tanjung Lumpur yang turut menahan seorang lagi suspek.

“Pemeriksaan di rumah itu menemui ketulan mampat ganja di berapa lokasi yang keseluruhannya seberat 4,092 gram, turut ditemui alat penimbang digital, pisau dan sarung tangan yang dipercayai digunakan untuk memproses ganja

sebelum diedarkan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan polis, seorang lagi suspek ditahan yang memberhentikan kereta dan memasuki rumah itu.

“Ujian air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis THC dan mereka direman seminggu dari Jumaat lalu sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, 39A (2), 39A(1) dan 6 Akta Dadah

Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Noor berkata, nilai anggaran rampasan dan aset disita dalam serbuan itu dianggarkan lebih RM181,000 membabitkan ganja seberat 4,305 gram bernilai RM10,000, wang tunai RM9,700 dan masing-

masing kereta Nissan Almera, Perodua Bezza, Perodua Alza serta motosikal dengan anggaran nilai RM108,000.

“Turut disita emas dalam bentuk kepingan bernilai RM33,275 dan wang dalam akaun berjumlah RM30,983.

“Dipercayai ia adalah hasil penjualan ganja yang pasarannya disasarkan sekitar daerah ini.

“Kita juga sedang mengenal pasti sumber bekalan ganja diterima mereka untuk mematahkan kegiatan pembekalnya serta rangkaiannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 10:53 PM