KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kota Kinabalu Asisten Superintendan Samsualan Samsudin (kiri) menunjukan dadah jenis syabu yang dirampas di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kota Kinabalu Asisten Superintendan Samsualan Samsudin (kiri) menunjukan dadah jenis syabu yang dirampas di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Polis menahan tiga lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu seberat 201.18 gram bernilai RM26,000 dalam dua serbuan berasingan di Kompleks Sinsuran, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, bertindak atas maklumat, jam 6.10 petang, polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Kompleks Sinsuran.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis pacuan empat roda Isuzu D Max yang dipandu suspek menemui satu plastik berisi dadah jenis syabu seberat 100.41 gram yang disembunyikan dibawah tempat duduk pemandu.

"Selang 20 minit kemudian, anggota polis menjalankan serbuan ke atas sebuah kereta jenis Nissan Almera di kawasan berhampiran pada serbuan pertama.

"Ketika serbuan dilakukan pemandu kereta bertindak agresif apabila hampir merempuh anggota polis untuk meloloskan diri namun tersekat akibat kesesakan lalu lintas sebelum suspek diberkas," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menahan dua lelaki dan merampas plastik hitam berisi dadah jenis syabu seberat 100.77 gram.

"Berat keseluruhan syabu yang dirampas 201.18 bernilai RM26,000 dan polis turut merampas beberapa barang kemas dan wang tunai RM500.

"Tiga suspek warga asing berusia 21 dan 44 tahun direman hingga 9 Disember ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 11:49 AM