FERI yang diperiksa APMM. Gambar kecil, tiga lelaki yang ditahan.
FERI yang diperiksa APMM. Gambar kecil, tiga lelaki yang ditahan.
Iskandar Shah Mohamed


Pelabuhan Klang: Cubaan tiga warga Indonesia memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dengan menaiki sebuah feri tidak berhasil apabila mereka ditahan pihak berkuasa, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 25 hingga 28 tahun bersama puluhan penumpang lain itu dari Pulau Ketam.

Sangkaan mereka bagaimanapun meleset apabila dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua penumpang feri itu, kira-kira 0.2 batu nautika dari perairan Pelabuhan Klang.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya menerusi bot ronda Maritim menjalankan pemantauan di sekitar perairan itu, jam 12 tengah hari.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, kami menahan feri penumpang berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka tiada dokumen perjalanan sah dan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, mereka dibawa ke jeti Pulau Indah untuk tindakan lanjut manakala feri itu dilepaskan.

“Tiada insiden tidak diingini berlaku dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Justeru, kata Mohd Rosli, pihaknya akan meneruskan operasi seumpama itu bagi membendung dan membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan laluan laut untuk keluar atau masuk ke negara ini.

“Jika terdapat aduan atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada APMM di talian kecemasan 999 atau mana-mana pusat operasi maritim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 5:44 AM