PPM Pelabuhan Klang menahan sembilan pelarian Rohingya dipercayai baru tiba dari Indonesia dengan menaiki bot di Jeti Sungai Limau, Pulau Ketam.
PPM Pelabuhan Klang menahan sembilan pelarian Rohingya dipercayai baru tiba dari Indonesia dengan menaiki bot di Jeti Sungai Limau, Pulau Ketam.

Pelabuhan Klang: Sindiket penyeludupan manusia menukar taktik dengan menurunkan warga asing yang diseludup masuk ke negara ini di Pulau Ketam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Warga asing terbabit kemudian diminta berlagak umpama rakyat tempatan dan menaiki feri untuk ke Pelabuhan Klang.

Taktik terbaru itu dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang hasil kejayaan Ops Pensura yang dijalankan bagi membanteras penyeludupan warga asing.

Dalam tangkapan terbaru jam 1 pagi Sabtu lalu, sembilan pelarian Rohingya ditahan PPM Pelabuhan Klang di jeti Sungai Limau, Pulau Ketam. Mereka baru tiba dari Indonesia dengan menaiki bot.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pelarian itu membabitkan enam lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun hingga 39 tahun.

“Mereka ditahan hasil maklumat awam serta risikan selepas kami mendapati ada pergerakan mencurigakan membabitkan sekumpulan individu di Pulau Ketam.

“Pemeriksaan tidak menolak kemungkinan semua yang ditahan itu diseludup dari Aceh, Indonesia menggunakan bot. Mereka juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah untuk masuk ke negara ini dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya, semalam.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 8:21 AM