MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Polis
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TERTEKAN dengan hutang menyebabkan seorang lelaki membuat keputusan drastik menamatkan riwayatnya dengan menghidu gas memasak di rumahnya di Taman Berlian Stabil, di Samarahan, semalam.

Pemandu lori berusia 41 tahun itu ditemui terbaring di dalam tandas rumah oleh anak lelakinya, kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, sebaik tiba di rumah, anak lelaki terbabit mendapati pintu rumah dalam keadaan terkunci dan panggilannya tidak bersahut.

Bagaimanapun, dia dapat membuka pintu rumah dan terkejut selepas menemui bapanya terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri selain menemui tong gas tidak jauh dari mayat.

“Terkejut dengan kejadian itu, anak lelaki terbabit kemudian menghubungi ahli keluarga terdekat untuk memaklumkan kejadian sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Kota Samarahan.

“Sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian kemudian bergegas ke rumah berkenaan dan pemeriksaan pasukan perubatan mengesahkan lelaki terbabit sudah meninggal dunia," katanya, hari ini.

Lee berkata, polis tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit maut selepas terhidu gas memasak yang dipasangnya di dalam tandas.

Katanya, siasatan awal juga tidak menemui sebarang unsur jenayah di dalam rumah berkenaan kerana tiada kesan pecah masuk.

Beliau berkata, polis percaya lelaki terbabit membunuh diri kerana mempunyai hutang banyak, namun siasatan lanjut berhubung motif kejadian masih dijalankan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 12:12 PM