GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ayusliza Azizan


EMPAT individu termasuk dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini, untuk membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu bagi pembelian toner melebihi RM90,000.

Menurut sumber, mereka yang ditahan terdiri pegawai TLDM yang memegang jawatan sebagai Bentara dan Leftenan Komander.

Katanya, selain mereka, turut ditahan seorang pemilik dan pengurus syarikat terbabit dalam penjualan toner itu.

“Walaupun dokumen tuntutan bayaran pembelian terbabit dikeluarkan syarikat itu, peralatan disenaraikan tidak dibekalkan mereka kepada Pusat TLDM Pulau Indah, Selangor.

“Antara peralatan toner disenaraikan iaitu seperti Black CE270A, Cyan CE271A, Magenta CE273A dan Yellow CE272A,” katanya.

Menurutnya, pegawai TLDM, bekas pegawai serta pemilik syarikat terbabit akan dipohon reman di Mahkamah Klang pada pagi esok.

Katanya, pengurus syarikat terbabit dilepaskan dengan notis dan jamin untuk hadir di SPRM Klang bagi merakamkan percakapan.

Semua suspek ditahan berusia dari 37 hingga 50 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 10:31 PM