GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Tiga individu yang membuat tuntutan palsu membabitkan pembinaan sebuah kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di negeri ini bernilai lebih RM9 juta ditahan, petang tadi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu berkenaan di pejabat SPRM Johor jam 6 petang tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki itu berusia antara 28 hingga 47 tahun itu bertindak sebagai orang tengah serta sindiket kartel kerja perolehan dalam mengendalikan kerja perolehan TLDM.

"Tangkapan ke atas ketiga-tiga individu berkenaan dibuat atas kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang kartel perolehan kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM di negeri ini.

"Ia membabitkan jumlah nilai perolehan keseluruhan melebihi RM9 juta dengan pembayaran penuh telah dibuat sedangkan pembinaan masih belum siap dengan sempurna," kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 8.30 pagi esok bagi mendapatkan perintah reman bagi siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 7:47 PM