GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suhaila Shahrul Annuar
cnews@nstp.com.my


TIGA individu termasuk dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Langkawi, semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes tuntutan palsu bagi pembekalan langsir pasang siap bernilai lebih RM60,000.

Menurut sumber, kedua-dua pegawai TLDM berusia 50 tahun itu masing-masing memegang jawatan sebagai Kepten kapal dan Komander (Pegawai Pemerintah).

Katanya, selain dua pegawai TLDM berkenaan, turut ditahan ialah seorang pengurus syarikat berusia 54 tahun yang terbabit dalam pembekalan langsir pasang siap itu.

“Kesemua mereka ditahan di SPRM cawangan Langkawi antara jam 2.20 petang hingga jam 7.30 malam semalam,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pengurus syarikat terbabit bersubahat dengan dua pegawai TLDM dalam mengemukakan invois mengandungi butiran palsu berhubung kerja pembekalan langsir pasang siap di TLDM Puncak Lang Langkawi berjumlah lebih RM60,000.

Bagaimanapun, katanya, pembekalan itu tidak dibuat sepenuhnya walaupun bayaran penuh sudah dibuat oleh TLDM.

“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Langkawi, pagi (hari) ini.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 10:13 AM