Siraj Mohd Zaini

ANGGOTA dan pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembelian dakwat kepada Pusat Hidrografi Nasional Pulau Indah berjumlah RM93,685 tahun lalu.

Turut direman adalah pemilik syarikat iaitu lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai terbabit bagi penjualan dakwat berkenaan.

Majistret Roslizi Sulaiman membenarkan perintah reman mulai hari ini sehingga Jumaat ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Klang.

Pegawai wanita berpangkat Leftenan Komander berusia 39 tahun yang kini bertugas di Majlis Keselamatan Negara (MKN) direman bersama Bentara Kanan berusia 38 tahun yang masih bertugas di TLDM Pulau Indah.

DUA pegawai TLDM serta seorang lelaki pemilik syarikat direman selama empat hari di Mahkamah Klang bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembelian dakwat kepada Pusat Hidrografi Nasional Pulau Indah. Foto STR/FAIZ ANUAR
DUA pegawai TLDM serta seorang lelaki pemilik syarikat direman selama empat hari di Mahkamah Klang bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembelian dakwat kepada Pusat Hidrografi Nasional Pulau Indah. Foto STR/FAIZ ANUAR

Ketiga-tiga mereka didakwa mengemukakan tuntutan bayaran pembelian dakwat oleh syarikat berkenaan, namun barangan terbabit tidak dibekalkan kepada Pusat Hidrografi Nasional Pulau Indah.

Semalam, SPRM menahan empat individu yang dipercayai terbabit dengan kes itu, namun seorang daripada mereka iaitu pengurus syarikat itu dilepaskan dengan notis dan jaminan untuk hadir ke pejabat SPRM Klang bagi merekodkan keterangan.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan dihantar ke lokap SPRM di Putrajaya.

Berita berkaitan

Empat termasuk dua pegawai TLDM ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 1:54 PM