Hasbi Sidek


TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan berkaitan kes tuntutan palsu bagi pembekalan langsir pasang siap bernilai RM60,000 membabitkan dua pegawai angkatan laut itu.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata, dua pegawai TLDM yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan bakal berhadapan tindakan disiplin sekiranya didapati bersalah.

“Saya akui memang ada dua kes membabitkan pegawai TLDM. Saya nak tekankan TLDM tidak akan berkompromi membabitkan salah laku dan sebagainya.

“TLDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam kes ini. Tindakan disiplin bakal diambil termasuk dibuang kerja, namun saya masih menunggu hasil siasatan dan tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi,” katanya ketika sidang media dalam majlis Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut 2019, di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Harian Metro melaporkan tiga individu termasuk dua pegawai TLDM ditahan SPRM Cawangan Langkawi semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes tuntutan palsu bagi pembekalan langsir pasang siap bernilai lebih RM60,000.

Menurut sumber, kedua-dua pegawai TLDM berusia 50 tahun itu masing-masing memegang jawatan sebagai Kapten kapal dan Komander.

Katanya, selain dua pegawai TLDM berkenaan, turut ditahan ialah seorang pengurus syarikat berusia 54 tahun yang terbabit dalam pembekalan langsir pasang siap itu.

Sementara itu, dalam majlis sama Mohd Reza menyerahkan sumbangan kewangan dari TLDM bernilai RM70,000 kepada 16 wakil persatuan veteran TLDM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 7:25 PM