TIGA individu direman tujuh hari bagi siasatan tuntutan palsu pembinaan kem TLDM bernilai lebih RM 9 juta di Mahkamah Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad
TIGA individu direman tujuh hari bagi siasatan tuntutan palsu pembinaan kem TLDM bernilai lebih RM 9 juta di Mahkamah Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Tiga lelaki yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki membuat tuntutan palsu pembinaan sebuah kem Tentera Laut DiRaja (TLDM) bernilai lebih RM9 juta direman tujuh hari.

Reman bermula hari ini hingga 25 Januari itu dikeluarkan Majistret Nurmadiana Mamat selepas mendapat permohonan SPRM bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, ketiga suspek berpakaian lokap SPRM dan bergari tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9.40 pagi.

Semalam, sumber SPRM memaklumkan tiga lelaki terbabit ditahan di pejabat SPRM Johor jam 6 petang.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki itu berusia antara 28 hingga 47 tahun itu bertindak sebagai orang tengah serta sindiket kartel kerja perolehan dalam mengendalikan kerja perolehan TLDM.

"Penahanan terhadap ketiga-tiga individu berkenaan dibuat atas kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang kartel perolehan kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM di negeri ini.

"Ia membabitkan jumlah nilai perolehan keseluruhan melebihi RM9 juta dengan pembayaran penuh telah dibuat sedangkan pembinaan masih belum siap dengan sempurna," kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 12:38 PM