GAMBAR kenangan Raja Saiful Azhar memangku Raja Zaura Delisha. FOTO Ihsan Keluarga
GAMBAR kenangan Raja Saiful Azhar memangku Raja Zaura Delisha. FOTO Ihsan Keluarga
Nor Fazlina Abdul Rahim


KELUARGA bayi perempuan berusia empat bulan yang meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, kelmarin, menafikan kematian bayi terbabit akibat penderaan seksual, sebaliknya berpunca daripada komplikasi usus.

Bapanya, Raja Saiful Azhar Raja Salleh, 35, turut mengakui terkejut apabila kematian anak bongsu daripada empat beradik, Raja Zaura Delisha tular di media sosial yang mendakwa didera secara seksual.

Menceritakan perkara itu, katanya, dia dan isteri dihubungi pengasuh anaknya pada jam 4.30 petang Isnin lalu memaklumkan Raja Zaura Delisha tidak sedarkan diri dan beliau terus membawanya ke HUSM.

“Ketika itu jantung anak saya tidak berfungsi dan doktor menebuk untuk memasukkan wayar sebelum Raja Zaura Delisha memberi maklum balas. Bagaimanapun jam 8.40 malam kelmarin (Selasa), anak saya disahkan meninggal dunia.

“Isu didera mungkin timbul apabila pakar kanak-kanak yang membuat pemeriksaan melihat ada kesan luka di dubur anak saya sebelum pihak hospital membuat laporan polis kerana bimbang ada unsur lain.

“Bagaimanapun, hasil bedah siasat kematian anak saya disebabkan komplikasi usus yang mungkin sudah ada sejak lahir. Namun sepanjang hayatnya selama empat bulan, kesihatan anak saya amat baik dan tidak menunjukkan sebarang masalah,” katanya yang tinggal di Kedai Lalat, di Kota Bharu.

Raja Saiful turut meminta orang ramai menghentikan daripada menyebar maklumat yang tidak benar kerana ia boleh menjatuhkan imej pengasuh anaknya itu.

“Berdasarkan maklumat rakan, mereka yang menyebarkan perkara itu juga terdiri daripada kakitangan hospital sedangkan ketika itu bedah siasat belum dibuat. Saya tegaskan kematian anak saya tiada kaitan dengan penderaan seksual atau pengasuh.

“Keluarga pengasuh amat baik dengan anak saya sepanjang Raja Zaura Delisha berada dalam jagaannya. Apa yang berlaku sudah ditakdirkan dan saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya yang bedah siasat anaknya dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ 11).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 12:45 PM