Suliman Abd Lah

Makkah: “Hari ini genap ulang tahun kelahiran saya yang ke-48. Tiada perasaan teruja sebaliknya hanya sayu dan berdebar-debar menyelubungi diri ini.

Ini kerana cuma berbaki sembilan hari lagi umat Islam yang menunaikan haji akan melakukan ibadah wukuf di Arafah,” kata pengayuh solo 10,000 ke Makkah, semalam.

Menurutnya, hingga ke saat ini, dia belum menerima kelulusan visa menunaikan haji daripada kerajaan Arab Saudi.

Katanya, pelbagai ikhtiar dan persiapan dilakukan namun nampaknya belum ada rezeki berpihak kepadanya setakat ini.

Dia berkata, apabila diimbau perjalanan kayuhan yang penuh berliku itu, terasa indah andai misi terbabit tercapai seperti dirancang sejak 2012 lagi.

“Segalanya dilakukan atas minat yang mendalam terhadap dunia basikal dan agama selain tiada unsur mempamerkan diri kerana bimbang timbul sifat riyak dan takbur.

“Kini tiada apa yang terdaya saya lakukan, hanya tawakal dan terus memanjatkan doa ke hadrat Ilahi semoga dengan izin kebesaran-Nya, ada keajaiban berlaku.

“Kepada keluarga dan rakyat Malaysia, saya mohon kalian terus mendoakan urusan saya untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada musim ini tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:38 AM