MUDA Jusoh (kiri) dan Muda Ali sebelum berangkat ke Tanah Suci.
MUDA Jusoh (kiri) dan Muda Ali sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Dua warga emas dari Kampung Wakaf Mempelam, di sini, bukan hanya berkongsi nama sama, malah lebih manis apabila mereka turut berpeluang mengerjakan ibadat haji bersama buat kali kedua selepas ke Tanah Suci bersama-sama pada 1999.

Muda Jusoh, 76, dan sahabat baiknya, Muda Ali, 78, teruja apabila dipilih kali kedua mengerjakan haji bersama-sama seterusnya memenuhi hasrat mereka menunaikan rukun Islam kelima itu buat kali kedua.

Muda Jusoh berkata, dia bersyukur berpeluang ke Tanah Suci untuk kali kelima dan pemergiannya lebih manis apabila ditemani sahabat sejak kecil.

“Saya mengerjakan haji kali pertama pada 1985 diikuti pada 1990, 1993 dan 1999 turut disertai Muda.

“Berbanding kali pertama, kos mengerjakan haji pada tahun 1985 hanya RM4,500 berbanding sekarang melebihi RM17,000,” katanya ketika ditemui di Hotel Tabung Haji, di sini, semalam.

Muda Jusoh dan Muda Ali antara 278 bakal haji yang menjadi kumpulan pertama berlepas dari negeri itu menaiki pesawat MH8036 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Madinah jam 12.45 tengah hari, semalam.

Muda Jusoh berkata, dia menunaikan haji menggunakan wang hasil pendapatannya sebagai petani yang disimpan RM100 hingga RM300 sebulan.

“Saya hanya menanam sayur-sayuran di kawasan terbiar di tepi rumah, melalui hasil itu saya ke Makkah sebelum ini dan sekarang. Jika diikutkan kemampuan wang, saya tidak mampu untuk ke sana kerana bukan dari keluarga berada dan mempunyai pendapatan besar, tetapi ini semua ketentuan Allah,” katanya yang mempunyai dua anak lelaki berusia 50 dan 55 tahun.

Rakannya, Muda Ali pula berkata, dia puas apabila hasratnya mengerjakan haji kali kedua bersama sahabat baiknya tercapai.

“Muda Jusoh ke Makkah empat kali, dia banyak pengalaman dan sedikit-sebanyak dapat membawa saya melawat tempat selain membimbing saya ketika mengerjakan haji.

“Sejak kecil kami berkawan, berkongsi nama sama dan bersekolah di sekolah sama dan lengkap apabila dapat mengerjakan haji bersama-sama,” katanya yang bertugas sebagai Imam Masjid Tok Jamal di Wakaf Mempelam, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:16 AM