DR Mahathir menjawab soalan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi BERSATU di Menara Yayasan Selangor, malam tadi. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
DR Mahathir menjawab soalan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi BERSATU di Menara Yayasan Selangor, malam tadi. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TUN Dr Mahathir Mohamad akan bertemu dengan barisan Kabinet bagi membincangkan isu sensitif berkaitan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Perdana Menteri berkata, isu berkenaan kini sudah menjadi isu sensitif dan ia perlu diberi perhatian oleh Pakatan Harapan (PH).

“Saya akan bawa perkara ini kepada menteri supaya faham betapa pentingnya mereka sensitif terhadap pandangan orang ramai.

“Kalau kita mahukan sokongan orang ramai, kita perlu sensitif kepada pendapat mereka (orang ramai),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi BERSATU di Menara Yayasan Selangor, malam tadi.

Sebelum ini, isu berkaitan MARA hangat diperkatakan apabila ia didakwa akan dipecah-pecahkan kepada beberapa kementerian.

Selain itu, berdasarkan artikel disiarkan di www.abuleman.blogspot.com mendakwa Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa, dalam pertemuan bersama dengan pegawai kanan MARA menyatakan hasratnya mahu membuka MARA untuk semua kaum di Malaysia selepas melawat Ibu Pejabat MARA, baru-baru ini.

Artikel memetik sumber itu menyatakan Sivarasa mahu menukar nama sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains MARA kepada Maktab Rendah Sains Malaysia.

Memetik laporan dalam artikel itu, menurut sumber, Sivarasa diamanahkan untuk menjaga kepentingan MARA yang sepatutnya dijaga orang Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 12:46 AM