DR Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan watikan pelantikan kepada Siti Ajar Yasin sebagai Ahli Majlis MARA. FOTO ihsan FB Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
DR Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan watikan pelantikan kepada Siti Ajar Yasin sebagai Ahli Majlis MARA. FOTO ihsan FB Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kepakaran tokoh pendidik Sarawak, Siti Ajar Yasin, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diiktiraf di peringkat nasional apabila beliau dipilih sebagai Ahli Majlis, Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Siti Ajar adalah guru cemerlang dan pernah dinobatkan sebagai Ikon STEM negeri Sarawak pada tahun 2018.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, watikah pelantikan yang ditandatangani Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah diserahkannya kepada Siti Ajar yang mengadakan kunjungan ke pejabatnya di ibu negara, hari ini.

Menurutnya, Siti Ajar adalah tokoh Sarawak yang pertama dilantik menganggotai Ahli Majlis MARA.

"MARA menerima seorang lagi guru cemerlang dan tokoh STEM negeri Sarawak untuk mengisi keanggotaan Majlis MARA.

"Saya yakin kepakaran Cikgu Siti Ajar memberi makna besar kepada MARA, khususnya dalam perancangan dan pelaksanaan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemerkasaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)," katanya dalam kenyataan di akaun Facebooknya, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, pemilihan Siti Ajar dicadangkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

"Sejujurnya saya berterima kasih kepada Premier Sarawak kerana menerima pelawaan saya untuk menamakan calon anak Sarawak bagi tanggungjawab ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 4:21 PM