CHONG Eng (kanan) ditemui media pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Ke-14. FOTO Danial Saad
CHONG Eng (kanan) ditemui media pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Ke-14. FOTO Danial Saad
Muhammad Yusri Muzamir


KERAJAAN negeri sedia mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pameran berkaitan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di premis kerajaan.

EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri, Chong Eng berkata, bagaimanapun ia perlu menitikberatkan pelbagai kemungkinan dan sensitiviti.

“Ia merangkumi sensitiviti agama dan isu berkaitan keselamatan membabitkan kumpulan LGBT serta penerimaan masyarakat umum.

“Bagaimanapun, kita sedia membangkitkan isu ini dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pameran mempromosikan LGBT di Festival Georgetown yang sedang berlangsung di Dewan Sri Pinang di Georgetown, sehingga 2 September depan.

Ia mempamerkan poster pejuang dan aktivis LGBT membabitkan Siti Kassim, Nisha Ayub dan Pang Khee Teik yang dipilih sebagai ikon dalam pameran yang diadakan sempena hari kemerdekaan.

Pameran itu bagaimanapun mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai bertentangan dengan Perlembagaan yang menjelaskan Islam sebagai agama rasmi.

Dalam pada itu, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang menegaskan, tiada keperluan bagi kerajaan negeri untuk mengarahkan supaya potret ikon LGBT itu diturunkan.

“Kita tidak seharusnya menurunkan potret berkenaan dan tidak mahu mendiskriminasi mana-mana individu hanya kerana orientasi seks mereka.

“Ini adalah perkara asas dalam hak asasi manusia. Ia tidak memberi kemudaratan kepada sesiapa dan saya rasa kita perlu hormati perbezaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 6:31 PM