KLANG 04 OGOS 2018. Keadaan lengang sambil kelihatan Pegawai SPR menanti di pintu bilik mengundi Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin Kampung Jawa pada Pilihanraya Kecil N49 Dun Sungai Kandis. SPR memaklumkan  peratusan keluar mengundi adalah 40% sehingga jam 3 petang. NSTP/OSMAN ADNAN
KLANG 04 OGOS 2018. Keadaan lengang sambil kelihatan Pegawai SPR menanti di pintu bilik mengundi Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin Kampung Jawa pada Pilihanraya Kecil N49 Dun Sungai Kandis. SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah 40% sehingga jam 3 petang. NSTP/OSMAN ADNAN
Faliq Lajim


PENGUNDI yang tidak tahu mereka perlu keluar mengundi hari ini dikatakan punca peratusan yang keluar kurang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, perkara itu diketahuinya ketika pihaknya menghubungi pengundi, hari ini.

“Ada juga pengundi di DUN Sungai Kandis tidak tahu mereka mengundi bagi PRK kali ini apabila kita menghubungi mereka tadi.

“Mereka ingat mereka pengundi di DUN Sentosa dan juga DUN Kota Kemuning,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRK Sungai Kandis sehingga tamat tempoh pengundian 5.30 petang tadi.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berpendapat pengundi DUN Sungai Kandis berkemungkinan berasa terlalu selesa dengan kemenangan PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menyebabkan mereka tidak keluar mengundi.

Ia berikutan katanya, sepanjang berkempen, ramai memberikan reaksi positif bahawa beliau akan menang dalam PRK ini.

“Kebanyakan pengundi merasakan kami (PKR) berada dalam zon selesa. Sejak awal berkempen, kami dapat mengesan pengundi terlalu yakin yang kami akan menang.

“Selain itu, PRU-14 juga baru saja berakhir selain mungkin pengundi ada aktiviti dan perancangan lain,” katanya.

Justeru, Mohd Zawawi berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memainkan peranan penting untuk memberi kesedaran kepada pengundi walaupun ia hanya PRK.

“SPR perlu memberikan kesedaran kepada setiap warganegara untuk mereka menunaikan tunai tanggugjawab kerana ramai pengundi merasakan mengundi ini sebagai satu pilihan.

“Jadi apabila pengundi rasa mengundi ini sebagai satu pilihan, mereka rasa tidak bersalah lantas tidak melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi,” katanya.

DUN Sungai Kandis kekal milik PKR, selepas calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, menang dengan majoriti 5,842.

Lagi berita PRK Sungai Kandis

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 10:22 PM