MUHAMAD Halim menunjukkan ketum yang dirampas. FOTO Azhar Ramli
MUHAMAD Halim menunjukkan ketum yang dirampas. FOTO Azhar Ramli
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BENGANG kerana tempat pemprosesan air ketum miliknya diserbu polis dalam satu operasi khas sekitar Padang Besar, Selasa lalu seorang lelaki turut mendedahkan maklumat mengenai tempat pesaingnya.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, dalam operasi selama dua hari itu, enam lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 45 tahun dipercayai pengedar air ketum ditahan di beberapa lokasi.

Katanya, pada serbuan pertama pada 31 Julai lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Guar Musang, sebelum menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai aktif memproses dan mengedar air ketum di sekitar kawasan terbabit.

“Ketika serbuan dilakukan, lelaki terbabit sedang leka memasak air ketum dan gagal melarikan diri.

“Bengang tempat perniagaannya diserbu, suspek membocorkan tempat pemprosesan pesaingnya yang turut beroperasi di sekitar daerah sama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, hari ini.

Muhamad Halim berkata, susulan maklumat terbabit, polis menyerbu empat buah rumah sebelum menahan lima lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 29 tahun yang sibuk memasak dan membungkus air ketum.

“Serbuan selama dua hari itu, menyaksikan sebanyak 414 liter cecair ketum, 38 kilogram daun ketum dan 19.9 liter cecair ubat batuk yang bernilai lebih RM8,000 dirampas.

“Semua suspek kini direman empat hari sehingga 4 Ogos ini mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 4:20 PM