SUSPEK dibawa keluar dari Mahkamah Kangar selepas mendapat perintah reman untuk siasatan lanjut daripada pihak polis. FOTO AIZAT SHARIF
SUSPEK dibawa keluar dari Mahkamah Kangar selepas mendapat perintah reman untuk siasatan lanjut daripada pihak polis. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Padang Besar: Asyik berbincang urusan pengedaran dadah, dua lelaki termasuk seorang penjawat awam tidak menyedari rumah mereka diserbu oleh polis di kawasan kediaman di Beseri, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata serbuan terhadap rumah teres dua tingkat pada jam 1.45 tengah hari, hasil risikan menerusi Op Hemlock yang mendapat maklumat berhubung pengedaran dadah di situ.

Menurutnya, polis merampas 250.68 gram (gm) pelbagai jenis dadah bernilai RM3032.50 dalam serbuan itu yang mampu menampung penggunaan seramai 200 orang penagih dadah.

"Semasa serbuan dilakukan, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 27 dan 37 tahun itu dilihat sedang berbincang urusan pengedaran dadah. Pemeriksaan pada suspek berusia 37 tahun itu mendapati dia adalah seorang penjawat awam yang bertugas di Perak.

"Hasil geledah di dalam bilik di tingkat atas kediaman itu kemudian menjumpai pelbagai jenis dadah iaitu heroin dengan anggaran berat sebanyak 137.78 gm bernilai RM1,848, ganja seberat 85.90 gm dengan nilai dianggarkan RM 212.50 dan syabu seberat 27 gm dengan nilai dianggarkan RM972," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati rumah berkenaan adalah milik bapa kepada salah seorang suspek yang juga penganggur.

"Suspek mejadikan rumah itu sebagai lokasi aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu sejak awal tahun ini. Dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan yang terdiri daripada pelanggan di sekitar Beseri dan Padang Besar.

"Ujian mendapati mereka positif dadah jenis syabu dan semakan rekod mendapati suspek penganggur yang berusia 27 tahun itu juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 10 Jun hadapan bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan yang dilakukan jam 11 pagi pada Jumaat lalu, polis menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 31 tahun di kawasan semak sebuah kampung di Batu 20, Padang Besar.

"Hasil pemeriksaan menemukan 80 bungkusan plastik lutsinar berisi cecair disyaki cecair ketum dengan anggaran 80 liter keseluruhan dan dianggarkan bernilai RM400.

"Suspek berkahwin dengan wanita tempatan mula aktif dalam penjualan cecair ketum sejak sebulan lalu. Suspek direman selama empat hari hingga Selasa hadapan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 10:10 PM