BUNGKUSAN cecair disyaki air ketum yang dirampas susulan serbuan di sebuah pondok di Jalan Bharu, di sini. FOTO Ihsan PDRM.
BUNGKUSAN cecair disyaki air ketum yang dirampas susulan serbuan di sebuah pondok di Jalan Bharu, di sini. FOTO Ihsan PDRM.
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas sebanyak 70 kilogram (kg) daun ketum dalam serbuan di sebuah pondok di Jalan Bharu, di sini, hari ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerusi kenyataannya, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu pondok itu serta menahan lelaki berusia 46 tahun yang menjadikan lokasi berkenaan sebagai tempat memproses air ketum.

"Polis turut menemukan sebanyak 120 liter cecair disyaki air ketum yang sudah siap diproses selain peralatan bagi memproses cecair itu.

"Keseluruhan rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM3,900," katanya di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang kegiatan atau kejadian jenayah diminta hubungi bilik Gerakan Polis Barat Daya di talian 04-8664122, 0192238169 (WhatsApp) atau laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerusi Aplikasi Messenger.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 6:57 PM