Polis merampas 33 bungkusan air ketum, 40 kg daun ketum dan 80 liter ubat batuk dalam sebuah rumah di Bukit Keteri, Padang Besar. FOTO IHSAN PDRM PERLIS
Polis merampas 33 bungkusan air ketum, 40 kg daun ketum dan 80 liter ubat batuk dalam sebuah rumah di Bukit Keteri, Padang Besar. FOTO IHSAN PDRM PERLIS
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 33 bungkusan air ketum dirampas selepas polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses air ketum di Kampung Guar Musang, Bukit Keteri, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 12 tengah hari selepas polis menerima maklumat berkenaan kegiatan dijalankan suspek di rumah berkenaan.

"Selain penahanan suspek berusia 34 tahun itu, kita turut menemui dua guni berwarna putih yang di dalamnya berisi daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat 40 kilogram (kg).

"Pemeriksaan selanjutnya dalam rumah berkenaan turut menjumpai empat tong berisi cecair disyaki ubat batuk yang dianggarkan sebanyak 80 liter," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek menjalankan kegiatan memproses air ketum di rumah itu sejak lima tahun lalu.

"Daun ketum itu dipercayai akan diseludup ke Thailand manakala air ketum itu pula akan dijual untuk pasaran tempatan sekitar kawasan kampung berkenaan, kita percaya pembelinya adalah warga tempatan.

"Manakala ubat batuk itu pula selain dijual di pasaran tempatan, ia juga akan dicampurkan ke dalam air ketum sebelum dijual kepada pembeli," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan adalah sekitar RM5,500.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Seksyen 30(3) dan Seksyen 9(1) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 5:16 PM