Siti Nur Mas Erah Amran


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal membuka sebuah pasar raya besar di Shah Alam pada tahun hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, projek perintis berkenaan bakal memasarkan pelbagai produk FAMA, hasil pertanian peladang dan pekebun tempatan.

Katanya, konsep pasar tani dan Agro Bazaar berjaya mencapai matlamat ditetapkan, malah beberapa produk pertanian turut dieksport ke China.

“Kita pilih Shah Alam kerana pasar tani FAMA yang beroperasi di situ menerima sambutan hebat dan memberi kesan besar kepada masyarakat setempat.

“Harga barangan jualan FAMA terkawal dan lebih rendah berbanding pasar biasa dan diharapkan harga jualan dapat dikekalkan.

“Justeru, kajian sedang dilaksanakan untuk mencari lokasi bersesuaian bagi membolehkan pasar raya besar beroperasi dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri taklimat khas FAMA di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian Sim Tze Tzin dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada FAMA di atas kemenangan AGROMAS meraih Anugerah The BrandLaureate Bumiputera BestBrands Award Signature Brand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 9:09 PM
SALAHUDDIN (kanan) melihat buah-buahan tempatan ketika menghadiri sesi taklimat tertutup di Bangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Selayang, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
SALAHUDDIN (kanan) melihat buah-buahan tempatan ketika menghadiri sesi taklimat tertutup di Bangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Selayang, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah