WAN Hapandi (dua kiri) bersama Halmi (tiga dari kiri) meninjau buah-buahan dijual selepas merasmikan Pasar Tani ke-31 di Terengganu di Sura Jeti, Dungun, semalam. FOTO Rosli Ilham.
WAN Hapandi (dua kiri) bersama Halmi (tiga dari kiri) meninjau buah-buahan dijual selepas merasmikan Pasar Tani ke-31 di Terengganu di Sura Jeti, Dungun, semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham 

 

“JANGAN jual mahal, jangan sampai kita keluarkan mereka,” tegas Penyelaras Pasar Tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu,   Halmi Hamzah kepada seluruh peserta pasar tani di negeri berkenaan.

 Beliau berkata, teguran itu dibuat supaya 1,350 peserta yang menjalankan perniagaan di 31 pasar tani di Terengganu mengekalkan harga jualan lebih murah kepada penduduk.

“FAMA menetapkan peserta pasar tani menjual hasil jualan mereka lebih rendah di antara 5 hingga 20 peratus berbanding pasar awam dan kedai runcit.

“Kalau peserta jual harga murah, seluruh rakyat negeri ini akan datang berbelanja di pasar tani dan menguntungkan peniaga,” katanya ketika mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik merasmikan pasar tani ke-31 di Terengganu di Sura Jeti Dungun, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, tiada lagi tindakan diambil terhadap peniaga yang menaikkan harga jualan mereka kerana FAMA sentiasa membuat pemantauan ke atas peserta. 

Katanya, pasar tani adalah usaha kerajaan membantu rakyat mendapatkan bekalan bahan basah dan mentah dengan harga lebih murah.

“Kalau ada peniaga mengambil kesempatan menjual dengan harga mahal, sudah pasti pengunjung tidak akan datang, sekali gus pasar tani akan berkubur.

“FAMA akan membuat pemantauan harga di pasar awam lebih awal sehari sebelum pasar tani itu beroperasi.

“Setiap peserta akan mempamerkan harga jualan mereka berbanding dengan harga dijual di pasar awam atau kedai lain,” katanya.

Sementara itu, Halmi berkata, pihaknya mensasarkan jualan peserta pasar tani sebanyak RM110 juta tahun ini dan sehingga Ogos lalu, jualan sudah mencecah RM56.2 juta. 

Beliau berkata, pada 2015, jualan dicatatkan adalah RM65 juta dan semakin meningkat pada 2016 (RM100 juta) dan RM108 juta pada 2017.

Katanya, setiap peserta memperoleh jualan sekitar RM500 hingga RM1,000 setiap hari bergantung pada keadaan cuaca.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 12:10 AM