SIM  (dua dari kanan),  Ahmad (dua dari kiri) dan Habibah kanan) ketika  perasmian Penang Fama Fest 2019. FOTO Ihsan FAMA
SIM (dua dari kanan), Ahmad (dua dari kiri) dan Habibah kanan) ketika perasmian Penang Fama Fest 2019. FOTO Ihsan FAMA
Zuhainy Zulkiffli


PROJEK Karavan Tani berpotensi menjadi platform baharu dalam menaik taraf perkhidmatan pemasaran hasil pertanian dan produk makanan.

Menampilkan imej van yang seragam, kemas dan teratur, Karavan Tani mampu memodenkan peruncitan secara bergerak.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Habibah Sulaiman berkata, dengan memasarkan hasil pertanian dan produk makanan secara bergerak kepada pengguna, produk yang dijual akan lebih segar, berkualiti pada harga yang tinggi serta kompetitif.

Beliau berkata, kaedah itu juga mampu meluaskan pasaran hasil pertanian dan produk makanan secara bergerak, selain meningkatkan pendapatan usahawan.

“Ia memberi peluang pasaran yang lebih luas kepada usahawan tani dalam memasarkan hasil pertanian dan produk makanan secara terus ke premis, pejabat, kawasan perumahan atau tempat tumpuan awam dengan produk yang dijamin berkualiti dan selamat untuk dimakan.

“Bagi peserta projek ini, imej mereka juga akan ditukar mengikut komoditi jualan dan usahawan ini dibenarkan berniaga sama ada di tapak pasar tani sedia ada tertakluk kepada kekosongan dan kesesuaian tapak atau lain-lain lokasi yang dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika perasmian Penang Fama Fest 2019 (Fiesta Buah, Buah dan Makanan 2019) di Tapak Expo Seberang Jaya, Georgetown, hari ini.

Fiesta itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.

Turut diadakan pada majlis itu ialah penyerahan Geran Insentif Karavan Tani sebanyak RM19,910 kepada Azhar Kassim iaitu usahawan dadih segera, serbuk dadih, aiskrim dan serbuk aiskrim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 8:15 PM