NURAZIQAH (tengah) menyiram air bunga mawar di pusara anak mereka sambil diperhatikan Nabil Fikri (kiri) di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, Tangkak, hari ini. FOTO Adi Safri
NURAZIQAH (tengah) menyiram air bunga mawar di pusara anak mereka sambil diperhatikan Nabil Fikri (kiri) di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, Tangkak, hari ini. FOTO Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria


JENAZAH Naufal Amsyar Nabil Fikri, 10 bulan yang mengalami kecederaan parah di kepala ketika berada dalam jagaan pengasuhnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, Tangkak, jam 7 malam ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dipangku bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28, dibawa ke Surau Rumah Pangsa Jalan Ong Siong, Tangkak pada jam 6.05 petang untuk disembahyangkan sebaik selesai proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan jam 6.35 petang dan selamat dikebumikan kira-kira 25 minit kemudian.

Suasana hiba menyelubungi kawasan tanah perkuburan apabila ibu mangsa, Noraziqah Rohmat dilihat tidak dapat membendung perasaan sedihnya sebaik melihat jenazah anak tunggalnya selamat dikebumikan.

Allahyarham Naufal Amsyar disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad 17 Perubatan Pediatrik HPSF, jam 9 pagi semalam akibat parah pada bahagian kepala dipercayai terjatuh ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di Taman Sialan selepas empat hari dimasukkan ke hospital berkenaan.

NURAZIQAH (tengah) ditenangkan oleh suaminya dan ahli keluarga pada pengebumian anak mereka, Naufal Amsyar. FOTO Adi Safri
NURAZIQAH (tengah) ditenangkan oleh suaminya dan ahli keluarga pada pengebumian anak mereka, Naufal Amsyar. FOTO Adi Safri

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri memaklumkan pengasuh wanita berusia 35 tahun turut disambung reman selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, selain itu pihak polis juga akan menunggu laporan hasil bedah siasat yang dijangka mengambil tempoh seminggu untuk diteliti terlebih dahulu.

Katanya, setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan

Reman pengasuh Naufal disambung

[UPDATE] Polis tunggu laporan bedah siasat

[UPDATE] 'Ralat tapi terima ketentuan Ilahi'

Naufal sudah tiada

Doakan Naufal Nabil...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 9:04 PM