Rafidah Mat Ruzki


TEPAT jam 8 pagi ini, semua 19 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka bagi membolehkan 51, 217 pemilih biasa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis melunaskan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat mereka.

Selepas berkempen selama 14 hari bermula 21 Julai lalu, kini tiba masanya untuk pengundi memilih antara Datuk Lokman Noor Adam dari Barisan Nasional (BN), calon Bebas, K Murthy atau Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mewakili PKR.

Bermula jam 12 tengah malam tadi, tiada lagi kempen meraih undi yang boleh dilakukan, sekadar bertaruh dengan nasib, siapa yang berjaya memenangi hati rakyat sejak nama mereka diumumkan pada 21 Julai lalu sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N49.

Antara ketiga-tiga calon berkenaan, hanya Mohd Zawawi yang akan mengundi di kawasan ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun pada jam 9 pagi nanti, manakala Lokman dan Murthy adalah pengundi luar.

PRK Sungai Kandis ini bukan sekadar mencipta sejarah sebagai PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia juga PRK yang pertama dijalankan apabila kerusi pilihan raya itu kosong tidak sampai dua bulan selepas penggal baharu bermula.

Selain itu, buat pertama kali selepas 2004, apabila tempoh pengundian dilanjutkan sehingga jam 7 malam selepas ramai pengundi terkeliru dengan pusat pengundian ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya, pengundi di Sungai Kandis dibolehkan mengundi sehingga jam 5.30 petang ini berbanding jam 5 seperti kebiasaannya.

Pada masa sama, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood sebelum ini turut mengumumkan pertambahan jumlah saluran daripada 88 kepada 109, manakala dua saluran dibuka untuk pengundi berusia 60 tahun ke atas.

Beliau dilaporkan berkata, ketiga-tiga penambahbaikan itu dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan selain memberikan keselesaan di tempat mengundi.

Umum mengetahui, pada PRU-14 lalu berlaku kekecohan selepas ramai pengundi hampir tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka selepas berlaku kesesakan di pusat mengundi selain terpaksa beratur panjang.

Hari ini juga dijangka akan berlaku ribut petir pada jam 8 pagi dan 3 petang nanti, selain sedikit matahari dengan langit berawan sepanjang pagi hingga jam 1 tengah hari manakala cuaca mendung sepanjang petang sehingga selesai waktu pengundian.

Justeru, ramai pihak termasuk SPR dan polis menasihatkan pengundi keluar awal untuk mengelakkan mereka daripada gagal mengundi.

Keputusan PRK Sungai Kandis dijangka diumumkan seawal jam 10 malam ini, sama ada kerusi N49 itu kekal di tangan PKR atau berjaya dirampas semula oleh BN.

Atau mungkin calon Bebas yang berjaya memenangi hati pengundi, siapa tahu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 7:41 AM
(Gambar kecil) Petugas SPR membuat persiapan di pusat mengundi bagi PRK N 49 Sungai Kandis, hari ini. Foto NSTP/OSMAN ADNAN & BERNAMA
(Gambar kecil) Petugas SPR membuat persiapan di pusat mengundi bagi PRK N 49 Sungai Kandis, hari ini. Foto NSTP/OSMAN ADNAN & BERNAMA