Gambar fail menunjukkan suasana pusat pengundian di DUN Sungai Kandis pada PRU-14. FOTO Arkib NSTP
Gambar fail menunjukkan suasana pusat pengundian di DUN Sungai Kandis pada PRU-14. FOTO Arkib NSTP
Dawn Chan


PKR mengesahkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, sebaik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis itu, dijangka bakal diumumkan dalam masa terdekat, selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei semalam, akibat kanser limfoma, pada usia 50 tahun.

Timbalan pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, parti itu akan menunggu pengumuman rasmi daripada SPR membabitkan hari penamaan calon dan hari mengundi.

Semalam, NSTP melaporkan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim akan menghantar notis rasmi kepada SPR sebaik memperoleh sijil kematian Mat Shuhaimi.

“Secara prinsipnya, Sungai Kandis adalah kerusi PKR. Jadi, kami akan meletakkan calon dari PKR untuk bertanding. Bagaimanapun, kami masih belum duduk berbincang siapa yang bakal dicalonkan kerana masih terlalu awal ketika ini.

“Kami akan menunggu SPR membuat pengumuman rasmi dan kemudian baru kami akan bincangkan perkara mengenai calon," katanya kepada NSTP hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, mereka masih belum berbincang apa-apa perkara mengenai kerusi DUN Sungai Kandis.

Katanya, ia berikutan UMNO Selangor baru saja selesai mesyuarat bahagian.

Setakat ini, kepemimpinan pusat masih belum menghubungi kami untuk berbincang mengenai isu PRK Sungai Kandis.

“Kami juga tidak tahu mengenai keadaan wakil rakyat Sungai Kandis kerana kami difahamkan beliau tidak terbabit dengan istiadat mengangkat sumpah ADUN baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kami akan menunggu pengumuman rasmi dan arahan daripada kepemimpinan pusat sebelum kami membuat perancangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Selangor, Datuk David Ang Chin Tat berkata, mereka masih belum membuat keputusan untuk bertanding dan menyerahkannya kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Katanya, selepas Gerakan membuat keputusan keluar dari BN, parti itu sepatutnya memberi tumpuan kepada menstruktur dan ‘meremajakan’ parti itu.

“Pendapat peribadi saya, kami tidak akan bertanding buat masa ini. Bagaimanapun, jika CWC membuat keputusan bahawa Gerakan patut bertanding, saya akan akur dengan arahan itu. Tetapi, pada masa ini, tidak ada perbincangan," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerusi DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Mat Shuhaimi menentang calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari, (PAS) Mohd Yusof Abdullah dan (Parti Rakyat Malaysia) Hanafiah Husin.

Shuhaimi mendapat 23,998 undi dengan undi majoriti sebanyak 12,480, mengalahkan Kamaruzzaman yang memperoleh 11,518 undi.

Mohd Yusof menerima 7,573 undi, manakala Hanafiah hanya memperoleh 76 undi.

Berdasarkan kepada daftar pemilih yang diwartakan pada 10 April lalu, seramai 50,800 pengundi berdaftar di DUN Sungai Kandis, manakala seramai 43,470 pengundi (86 peratus) yang keluar mengundi pada 9 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 11:11 PM