ANTARA buah yang menanti pengunjung ‘Melaka Durian Street. FOTO Shaiffulazhar Misri
ANTARA buah yang menanti pengunjung ‘Melaka Durian Street. FOTO Shaiffulazhar Misri
Shaiffulazhar Misri


‘DURIAN cinta’ dan ‘durian darling’ antara baka terbaharu yang bakal diperkenalkan kepada penggemar raja buah itu sempena ‘Melaka Durian Street’ yang bermula dari 17 hingga 29 Julai ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Baka durian cinta D201 dan durian darling D197 yang hanya terdapat di Ayer Molek, Melaka itu diperkenalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sekali gus bakal menandingi kualiti baka durian terkenal lain seperti musang king, udang merah, D13 dan D18 yang turut dipasarkan di festival itu.

Pengarah FAMA negeri, Che Samudin Hassan berkata, festival 13 hari itu menawarkan jualan pelbagai jenis buah-buahan tempatan termasuk durian, manggis, rambutan, pulasan, cempedak serta pelbagai lagi.

“Kita jangka 25,000 hingga 30,000 pengunjung menghadiri Melaka Durian Street khususnya kepada penggemar durian tempatan dan pelancong asing.

“Festival ini menjual pelbagai jenis buah-buahan tempatan yang diambil daripada pembekal dan pekebun di sekitar Melaka.

“Cara ini dapat membantu mempromosi buah bermusim selain mengelakkan lambakan buah-buahan di pasaran,” katanya pada sidang media, hari ini.

Che Samudin berkata, pihaknya akan membawa tiga tan pelbagai jenis buah untuk jualan pada setiap hari sepanjang tempoh festival berkenaan.

“Pengunjung boleh menikmati acara ‘Happy Hour’ setiap hari bermula jam 5 hingga 6 petang dan 9 hingga 10 malam khusus kepada pengunjung yang ingin membeli buah secara pukal. Kita turut menjual anak pokok rambutan dan durian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Melaka mempunyai kira-kira 1,000 hektar tanaman durian di sekitar Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah selain mejangkakan berlaku lambakan durian pada 21 sehingga 26 Julai ini.

“Setakat ini, 750 hektar sudah mengeluarkan hasil dengan jumlah keseluruhan 1,100 metrik tan.

“Oleh itu, langkah penganjuran festival ini adalah bertepatan bagi mengawal lambakan durian di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 8:21 PM