Peniaga durian, Mohd Firdaus Endut (kiri) menunjukkan lambakan buah durian di premisnya kepada Razman (tengah). FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Peniaga durian, Mohd Firdaus Endut (kiri) menunjukkan lambakan buah durian di premisnya kepada Razman (tengah). FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Larut: "Video itu saya tak bermaksud nak salahkan sesiapa, saya sedikit tertekan apabila lebih dua tan buah durian yang dibeli dari penduduk, tidak terjual." kata peniaga buah, Mohd Firdaus Endut, 41, berhubung video tular baru-baru ini yang mendakwa berlaku lambakan buah durian di premis perniagaannya di Ijok, di sini.

Menurutnya, melalui video itu dakwaannya terhadap pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) tidak pernah datang dan membantunya juga tidak tepat sebaliknya dia mengakui ia terkeluar dari mulutnya secara tidak sengaja disebabkan tekanan dialami akibat masalah itu.

"Masalah lambakan durian yang berlaku pada hari kejadian, disebabkan hari raya haji di mana lebih dua tan buah durian yang dibeli daripada penduduk tidak terjual dan tidak dapat dibawa ke pasaran luar.

"Saya sedikit tertekan. Hanya peniaga buah saja yang tahu macam mana tekanan yang dialami apabila buah yang kita beli dari penduduk tidak terjual, namun selepas video itu tular pihak Fama tampil membantu kami dan membeli lebih tiga tan durian di sini.

"Saya tidak bermaksud untuk menyalahkan mereka (Fama) sebaliknya kata-kata itu terkeluar secara spontan dan terus tular di media sosial," katanya kepada media selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria.

Menurutnya, pihaknya kesal dengan video tular itu dan amat berterima kasih kepada pihak Fama atas bantuan mereka sekali gus dapat mengatasi lambakan buah durian yang berlaku di premisnya.

"Setiap hari kami membeli lebih tiga tan durian daripada penduduk sekitar dan akan memasarkannya ke Terengganu dan Kelantan.

"Namun disebabkan musim durian ini berlaku serentak seluruh negeri, kini kami menghantarnya untuk pasaran di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sahaja.

"Alhamdulillah dengan bantuan FAMA kini, saya tidak lagi bimbang dengan masalah lambakan buah-buahan yang berlaku di sini," katanya.

Sementara itu, Razman berkata, masalah lambakan yang berlaku di kawasan Ijok sudah selesai dan Fama bertindak membeli lebih tiga tan buah durian di situ untuk diproses dan di pasarkan di Ipoh, Sungai Petani, Kedah dan Selayang, Selangor.

Menurutnya, tiada lambakan berskala besar berlaku di Ijok dan Batu Kurau malah dakwaan kononnya Fama tidak membantu peniaga-peniaga ini adalah tidak tepat.

"Isu lambakan yang berlaku di sini timbul disebabkan musim perayaan dan pemborong tidak dapat memasarkan hasil yang dibeli, malah peniaga yang membuka payung dan meja di tepi jalan juga tidak beroperasi.

"Berhubung dakwaan Fama tidak membantu peniaga sebegini mungkin disebabkan maklumat atau masalah lambakan buah-buahan itu tidak sampai ke pengetahuan mereka.

"Jadi perkara ini sudah diselesaikan dan keadaan di sini masih terkawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:03 PM