RAKAMAN video dibuat seorang pemandu bas yang tidak berpuas hati selepas diperiksa tiga pegawai JPJ. FOTO tular
RAKAMAN video dibuat seorang pemandu bas yang tidak berpuas hati selepas diperiksa tiga pegawai JPJ. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

JPJ dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai video tular berkaitan tiga pegawai penguat kuasa JPJ tidak memakai uniform atau vest ketika melakukan operasi.

Malah, JPJ juga mengesahkan bahawa ketiga-tiganya lelaki terbabit adalah pegawai penguat kuasa jabatan itu.

Katanya, JPJ melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidil Fitri (HRA) 2024 bermula 1 April lalu dan akan tamat pada 20 April ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama penumpang bas ekspres.

"Sepanjang operasi itu, jabatan ini menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, pemeriksaan pemandu bas di terminal bas sebelum memulakan perjalanan dan pemantauan di lokasi sering berlaku kemalangan termasuk menggunakan teknologi dron.

"Pihak JPJ juga menyamar sebagai penumpang bas ekspres, penyamaran menggunakan kenderaan tanpa lambang jabatan di samping bertindak atas aduan serta maklumat daripada orang ramai melalui sistem eAduan dalam aplikasi MyJPJ.

"Menerusi video tular itu, 3 pegawai penguat kuasa JPJ tanpa uniform atau vest sedang melakukan pemeriksaan dan menahan sebuah bas penumpang ketika operasi khas pada 16 April lalu jam 12.10 tengah hari di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke arah Utara dekat Nilai menggunakan kaedah penyamaran," katanya.

JPJ menjelaskan bahawa pegawai penguat kuasa JPJ dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

Bagaimanapun, katanya, pegawai penguat kuasa perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kuasa) yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah (JPJ) sekiranya diminta berbuat demikian.

"Ia adalah selaras dengan Seksyen 123 (1) dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan kes itu dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu dan memberikan ruang kepada PDRM untuk melakukan siasatan.

"Jabatan ini sentiasa komited dalam memastikan tahap keselamatan pengguna berada pada tahap terbaik di samping menguatkuasakan undang-undang

jalan raya," katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video serta laporan polis dibuat seorang pemandu bas yang diperiksa oleh tiga pegawai JPJ yang tidak memakai uniform atau vest tular di media sosial, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 4:22 PM