Shahrinnahar Latib


HASRAT suri rumah di Jerantut untuk membebaskan suaminya yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut tidak kesampaian malah kerugian RM6,500 selepas diperdaya lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian pada 4 Julai lalu, mangsa berusia 37 tahun menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari IPD Jerantut.

"Suspek memberitahu suami mangsa berusia 40 tahun berada di dalam lokap IPD Jerantut kerana kes dadah dan jika ingin membebaskannya perlu membuat bayaran sebanyak RM5,000, namun mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang sebanyak itu.

"Suspek kemudian meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM4,000. Pada hari yang sama, mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun Maybank yang diberikan oleh suspek," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas selesai membuat pembayaran, mangsa menerima panggilan semula daripada suspek dan memberitahu jumlah wang yang dimasukkan tidak mencukupi dan perlu menambah wang sebanyak RM2,500.

"Mangsa yang tidak mensyaki apa-apa memasukkan wang berkenaan. Selepas itu, mangsa meminta suaminya dibebaskan, namun suspek mendakwa dia mempunyai kerja dan tidak dapat membebaskan suami mangsa.

"Suspek berjanji akan membebaskan suami mangsa pada minggu hadapan (Isnin lalu), namun mangsa pergi ke IPD Jerantut untuk bertanyakan mengenai perkara itu dan mendapat tahu tiada proses pembayaran yang berlaku untuk melepaskan suaminya," katanya,

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Jerantut dan siasatan lanjut mendapati suspek menyamar sebagai pegawai polis serta menyuruh mangsa membuat pembayaran supaya suami yang berada di tahanan polis dapat dibebaskan.

"Suami mangsa memang ditahan di IPD Jerantut berkaitan kes dadah dan sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sudah diberi jamin oleh pihak mahkamah," katanya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 10:53 AM