Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Pelbagai cara untuk sindiket penipuan lakukan demi mendapatkan duit mudah daripada mangsa malah ada yang sanggup menyamar menjadi rakan terdekat mahupun ahli keluarga.

Itu yang terjadi kepada seorang tukang jahit di Jerantut apabila ditipu oleh seorang suspek yang menyamar sebagai rakannya sehingga mengalami kerugian RM6,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 24 tahun pada mulanya dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai kawannya.

"Suspek bertanyakan khabar dan memberitahu bahawa dia kehilangan dompet dan telefon bimbit. Selain itu, suspek juga menjemput mangsa dan keluarga untuk hadir majlis pembukaan kafe pada hujung bulan ini.

"Semalam, mangsa sekali lagi dihubungi oleh suspek untuk meminjam wang berjumlah RM6,000 serta memberikan maklumat akaun bank bagi tujuan memasukkan wang," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan akan memulangkan wang yang dipinjam itu dalam masa empat jam lagi sebelum mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek.

"Mangsa yang curiga kemudian membuat semakan nombor akaun bank yang diberikan suspek di laman sosial Facebook (FB) dan mendapati berlaku penipuan meminjam wang yang menyamar sebagai kenalan.

"Mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini, semalam," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 11:02 AM