Anggota polis memeriksa mayat lelaki berlumuran darah yang ditemui.
Anggota polis memeriksa mayat lelaki berlumuran darah yang ditemui.
Nur Saliawati Salberi

Melaka: Pelanggan restoran yang menikmati sarapan gempar dimaklumkan penemuan mayat lelaki berlumuran darah di depan kedai peralatan telekomunikasi di Taman Malim Jaya di sini, semalam.

Mayat Koo Kar Chung, 56, itu ditemui jam 7.30 pagi oleh pekerja restoran sebelum dimaklumkan kepada pengunjung kedai itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa dipercayai diserang suspek di sebuah bengkel terletak 250 meter dari lokasi mayatnya ditemui.

Katanya, penemuan mayat berlumuran darah itu dimaklumkan kepada pihak polis oleh pelanggan restoran.

“Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati ada kesan luka tikaman di leher kiri, ketiak, tepi mulut kanan, kepala serta belakang leher.

“Pemeriksaan turut menjumpai tompokan darah di atas jalan dan kaki lima kedai bermula dari bengkel hingga ke lokasi mayat ditemui,” katanya.

Afzanizar berkata, siasatan lanjut menemui pemutar skru sepanjang 71 sentimeter yang ada kesan darah di kawasan bengkel terbabit.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) milik kedai telekomunikasi di lokasi mayat ditemui mendapati mangsa tiba di kaki lima itu jam 7.23 pagi dan terus terbaring,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 11:42 AM