Keindahan sewaktu matahari terbit pada awal pagi ketika berada di puncak.
Keindahan sewaktu matahari terbit pada awal pagi ketika berada di puncak.
 Pendaki  di puncak Gunung Baling dengan ketinggian 546 meter dari paras laut.
Pendaki di puncak Gunung Baling dengan ketinggian 546 meter dari paras laut.
Safuri Kamarudin


Baling: Gunung Baling tidak asing lagi bagi penduduk di daerah ini sebagai tempat menarik untuk pendaki yang meminati aktiviti lasak.

Dengan bentuk muka bumi yang menarik, tidak hairanlah Gunung Baling sering dikunjungi pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk melihat keindahannya.

Terletak di tepi jalan utama kira-kira dua kilometer (km) dari pekan ini menuju ke Weng, Mukim Siong ia menjadi tumpuan pendaki.

Gunung Baling menjadi tarikan kerana keindahan semula jadi dengan tumbuhan menghijau yang satu ketika dulu menjadi sumber rezeki penduduk tempatan mencari paku pakis, paku aji, serian dan serai wangi.

Bagaimanapun kini, Gunung Baling dengan ketinggian 546 meter dari aras laut sering didaki peminat aktiviti lasak termasuk pelajar, belia, kakitangan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana keunikannya.

Mereka kebiasaannya mendaki bermula jam 4 pagi dan sampai ke puncak gunung dua jam kemudian bagi membolehkan mereka melihat matahari terbit.

Ketua Malim Gunung Baling yang berpengalaman lebih 20 tahun, Nor Azman Ishak, 50, berkata, jika dulu hanya penduduk tempatan yang mendakinya untuk mencari rezeki, tetapi kini segalanya berubah selepas hasil hiasan hutan itu dilarang pengambilannya oleh pihak berkuasa daerah.

Katanya, kebanyakan pengunjung mendaki pada awal pagi supaya dan dapat melihat matahari terbit.

Menurutnya, lebih 30 anggota malim menawar khidmat membawa pendaki supaya tidak timbul perkara tidak diingini dan selamat sampai ke puncak.

“Bagaimanapun, ada juga segelintir tidak mahu menggunakan khidmat malim sehingga sesat, malah mengalami kemalangan, sekali gus menyukarkan semua pihak,” katanya.

Nor Azman berkata, hujung minggu dan hari kelepasan menjadi tumpuan kerana jumlah pengunjung meningkat.

“Justeru, Gunung Baling di bawah pengawasan Majlis Daerah Baling menyediakan laluan selamat bagi memudahkan pendaki.

“Mereka dikenakan bayaran bergantung kepada setiap kumpulan. Bayaran RM15 seorang dikenakan sekiranya kumpulan itu melebihi 10 pendaki.

“Bayaran itu termasuk perkhidmatan jurupandu, sijil dan bayaran masuk,” katanya.

Pendaki, Mazlina Abu Hasan, 40, dari Negeri Sembilan berkata, keindahan Gunung Baling amat menyeronokkan.

“Walaupun terpaksa melalui laluan berbatu kapur dan celahan batu, ia amat menyeronokkan meskipun mengambil masa sehingga dua jam sampai di puncak.

“Apabila sampai di puncak, saya dapat melihat keindahan sekeliling sehingga keseluruhan pekan Baling dengan pelbagai panorama menarik menjadikan fikiran kita tenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 10:08 AM