GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidir Reduan dan Luqman Arif Abdul Karim


KERAJAAN akan membentangkan pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah berkata, pembentangan pindaan itu akan dilakukan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 16 Julai depan, bagi memastikan hak dan kepentingan kanak-kanak, termasuk berkaitan isu perkahwinan, dapat dilindungi sepenuhnya.

Tanpa memperincikan akta bakal dipinda, beliau berkata, usaha berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita rasa elok sekarang dinaikkan had umur perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri dengan lebih 2,000 anak yatim di ibu negara, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Presiden Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir.

DR Wan Azizah bergambar kenangan bersama anak-anak yatim. FOTO Sairien Nafis
DR Wan Azizah bergambar kenangan bersama anak-anak yatim. FOTO Sairien Nafis

Tindakan peraih getah berusia 41 tahun di Kelantan mengahwini seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang difahamkan berasal dari selatan Thailand, baru-baru ini, mencetuskan polemik apabila ia disifatkan bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2016 dan Enakmen Keluarga Islam.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, usaha pegawai kementerian itu untuk menjejaki lelaki berkenaan di Gua Musang, gagal apabila individu terbabit dipercayai lari dan menyembunyikan diri.

“Saya sudah mengarahkan pegawai untuk menjejakinya tetapi menerusi perbualan telefon semalam, usaha mendapatkan keterangan dan butiran lanjut itu gagal kerana beliau lari serta menyembunyikan diri.

“Kita perlu memperhalusi kes ini secara menyeluruh. Berdasarkan perincian daripada seorang hakim Mahkamah Syariah yang saya temui, perkahwinan mereka tidak sah dan terbatal kerana tidak mendapat kelulusan mahkamah.

“Kita juga difahamkan mungkin wujud unsur tekanan terhadap kanak-kanak perempuan ini, mencakupi aspek kemiskinan dan faktor persekitaran kerja, kerana lelaki terbabit dikatakan majikan keluarga berkenaan,” katanya.

Justeru, Dr Wan Azizah berkata, penelitian terhadap kes itu perlu dibuat secara menyeluruh dengan memastikan hak dan kepentingan kanak-kanak terbabit sentiasa diutamakan walaupun bukan warga Malaysia.

Beliau berkata, ia termasuk kemungkinan wujud unsur jenayah dalam perkahwinan terbabit, sekali gus memberi tekanan terhadap keluarga kanak-kanak perempuan berkenaan untuk menerima lamaran.

“Penelitian awal turut mendapati ini adalah kali kedua lelaki berkenaan melamar kanak-kanak perempuan itu selepas ditolak ibunya pada percubaan kali pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 1:39 PM